Lee: Tiada rumah terbuka perayaan Tahun Baharu Cina di daerah Miri

Lee (tengah) diapit Ting (kiri) dan Yii menunjukkan garis panduan (SOP) sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 6 Feb: Tiada aktiviti ziarah menziarah dan rumah terbuka dibenarkan semasa perayaan Tahun Baharu Cina di daerah Miri tahun ini bagi mengekang penularan jangkitan penyakit Covid-19.

Ini termasuk acara tarian singa/naga, ‘family reunion’ atau perjumpaan keluarga di hotel dan restoran untuk sambutan malam Tahun Baharu Cina dan Tahun Baru Cina.


Perkara ini dijelaskan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, di pejabat Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) cawangan Piasau Miri pada satu sidang media hari ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut Menteri Muda Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting yang juga Adun Piasau dan Datuk Bandaraya Miri Adam Yii.

Lee menambah acara berkumpul beramai-ramai untuk majlis makan malam berkenaan hanya perlu disambut dalam kalangan keluarga terdekat sahaja dan tidak melebihi 20 orang.

“Tuan rumah wajib menyediakan alat saringan suhu badan dan setiap ahli keluarga yang datang perlu mendaftar dan memuat turut aplikasi Mysejahtera /CovidTrace/Qmunity bagi tujuan pengesanan kontak,” jelas beliau.

Lee berkata, prosedur operasi standard (SOP) tersebut juga merangkumi acara sambutan ‘Chap Goh Mei’.

Beliau menambah, tuan rumah adalah wajib menyediakan susunan tempat duduk yang mematuhi penjarakan fizikal tidak kurang dari satu meter.

“Amalan melibatkan aktiviti bersentuhan seperti bersalaman adalah tidak dibenarkan,” tegasnya.

Akur dengan situasi pandemik Covid-19, Lee juga turut menjelaskan tiada acara mengagih buah limau Mandarin di sekitar Miri seperti kelaziman tahun-tahun sebelum ini yang dilakukannya bersama Ting.

“Tradisi mengagihkan limau di sekitar lokasi di Miri telah kita buat sejak zaman Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, namun memandangkan situasi pandemik Covid-19, kita akur maka acara tradisi ini kita tidak akan buat seperti kelaziman,” Lee berkata.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru komuniti Cina memanfaatkan kemudahan teknologi mudah alih untuk berhubung dengan saudara dan ahli keluarga semasa perayaan Tahun Baharu Cina ini dalam mengharungi krisis Covid-19. — DayakDaily