Nanta: Bekalan minyak masak di pasaran stabil dan mencukupi

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 6 Feb: Kekurangan minyak masak khususnya peket polibeg 1kg di sesebuah premis peruncit hanyalah bersifat sementara.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ia adalah disebabkan peruncit berkenaan kehabisan stok dan sedang menunggu penghantaran baru dari pemborong mereka.

Katanya, sebanyak 60,000 metrik tan sebulan atau 720,000 metrik tan setahun minyak masak bersubsidi diperuntukkan dalam bentuk peket polibeg 1kg.


“Ini bersamaan dengan 60 juta peket 1kg sebulan atau 720 juta peket 1kg setahun.

“Jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang berjumlah 32.7 juta orang, bermakna 1.8 kilogram sebulan atau 22 kilogram setahun untuk setiap rakyat termasuk kanak-kanak.

“Terdapat sebanyak 25 pengilang dan 296 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh negara,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sementara itu pada hari ini, Nanta telah mengadakan lawatan ke sebuah kilang pengeluaran dan pembungkusan minyak masak sawit di Dengkil, Selangor.

Tujuan lawatan adalah untuk meninjau dari dekat berkenaan bekalan dan proses pengeluaran minyak masak sawit dari ladang ke kilang dan dari kilang ke pemborong dan peruncit.

“Ini berdasarkan maklumbalas yang kementerian terima dari pengguna yang bekalan minyak masak peket polibeg 1kg berkurangan di pasaran terutama di peringkat peruncit.

“Hasil tinjauan hari ini dan pemeriksaan pegawai penguatkuasa kami di seluruh negara termasuk pemeriksaan di bandar Muazam Shah, Rompin baru-baru ini, saya sangat berpuas hati bahawa bekalan minyak masak peket polibeg 1kg amat mencukupi,” ujar beliau lagi.

Bagi tahun 2020, jumlah pengeluaran minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi adalah sebanyak 1,836,000 metrik tan setahun.

Jelas Nanta lagi, kementerian telah melaksanakan arahan penetapan had pembelian minyak masak pek polybeg 1kg di peringkat peruncit bermula 19 Januari, 2021 di mana setiap pengguna hanya dihadkan tiga peket untuk setiap pembelian. — DayakDaily