Kem Temudok, Sri Aman menjadi Batalion PGA ke-4 di Sarawak

Hazani (tengah) pada sidang media di Kuching. Turut kelihatan Mancha (kiri) dan Mohd Azman (kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 April: Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Temudok di Sri Aman bakal menjadi satu batalion yang baharu di negeri ini.

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) CP Dato Sri Hazani Ghazali, ia merupakan perancangan bagi penubuhan tiga batalion baharu di mana dua di Sabah dan satu di Sarawak.


“Saya telah meninjau dan satu batalion akan ditempatkan di Sri Aman bagi mengawal keselamatan sempadan darat.

“Kem Temudok akan menjadi batalion baharu, kalau perlu penambahan dari segi fasiliti kita akan buat secara berperingkat.

“Bulan Jun nanti kita boleh laksanakan sepenuhnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau telah menyaksikan Majlis Serah Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Ibupejabat Polis Kontinjen, Jalan Badaruddin.

Pada majlis itu CP Mohd Azman Ahmad Sapri menerima serah tugas daripada DCP Mancha Ata yang telah memangku jawatan tersebut sejak 21 Februari lepas.

Tambah Hazani, Batalion PGA baharu yang merupakan keempat di Sarawak akan memberi fokus kepada kawalan sempadan darat bagi memastikan ia tidak mudah bolos.

Dalam pada itu katanya, Batalion 10 PGA Sibu akan digerakkan untuk mengawal sempadan di Kapit, Belaga dan terus ke Ba’Kelalan.

“Kita merancang sepenuhnya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kita memperkasakan keselamatan sempadan, bukan sahaja di Kalimantan, Sabah dan Sarawak bahkan di Semenanjung Malaysia juga.

“Saya memang menggerakkan semua elemen dalam polis khususnya PGA dan Pasukan Simpanan Persekutuan untuk mempertingkat serta memperkukuh kawalan keselamatan sempadan,” ujar beliau.

Berhubung penubuhan ibu negara baharu Indonesia di Nusantara, Hazani berkata, cadangan bagi membina laluan keselamatan di sepanjang sempadan telah dikemukakan kepada pihak kerajaan.

Katanya, laluan keselamatan itu nanti akan bermula dari Telok Melano sehingga ke Tawau di Sabah.

“Di laluan keselamatan ini, kita akan buat rondaan, kita letakkan ‘artificial intelligence’ (AI) seperti dron, kamera pengawasan untuk memastikan sempadan selamat,” ujar beliau. — DayakDaily