JSJK Sarawak terima lapan kes Macau Scam, tiga kes libatkan kerugian RM235,800

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Okt 3: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak setakat semalam iaitu Okt 2 lalu telah menerima lapan laporan berhubung kes penipuan ‘Macau Scam’ yang berlaku di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, daripada lapan kes itu, tiga mangsa telah ditipu dan dilaporkan mengalami kerugian kira-kira RM235,800.

Menurutnya, lima lagi mangsa pula tidak terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan.


“Kejadian pertama dilaporkan melibatkan pesara guru di Kuching yang kerugian sebanyak RM188,000.

“Manakala kes kedua dilaporkan di Sri Aman melibatkan seorang pembantu tadbir yang kerugian sebanyak RM32,000,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, kes ketiga pula membabitkan setiausaha sebuah persatuan dengan kerugian sebanyak RM15,800.

Katanya, modus operandi sindiket Macau Scam tersebut ialah dengan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis.

“Anggota sindiket berkenaan kemudian mendakwa mangsa pertama terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Mangsa kedua pula didakwa disyaki terlibat dalam kes BR1M dan penggelapan wang berjumlah RM50,000.

“Seterusnya, mangsa ketiga pula didakwa mempunyai pinjaman peribadi RM50,000 dari Hong Leong Bank Kuala Terengganu,” katanya.

Sehubungan itu, Mustafa mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan daripada mana-mana pihak atau individu yang tidak dikenali.

“Pada masa sama, elakkan membuat sebarang pertukaran nombor PIN atau memindahkan wang melalui mesin teler automatik (ATM) sekiranya menerima sebarang panggilan yang mencurigakan,” ujarnya lagi. — DayakDaily