JPBB Miri nafi terdapat 60 kes positif Covid-19 di eMart Riam

Kelihatan anggota penguatkuasa ketika melakasanakan pemeriksaan SOP dan pemantauan di pusat membeli belah di Miri.- Foto UKAS

MIRI, 14 Mei: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri menafikan dakwaan terdapat 60 kes positif Covid-19 di kalangan kakitangan pasaraya eMart Riam di sini.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin dalam satu kenyataan menjelaskan bilangan kakitangan pasaraya terbabit yang positif Covid-19 adalah 8 orang sahaja bukannya 60 orang seperti yang tular di media sosial.

ā€œMereka ini adalah kenalan rapat dan ahli keluarga yang mempunyai kaitan dengan Kluster Jalan Lilin.


ā€œPejabat Kesihatan Bahagian Miri bersama dengan pengurusan eMart Riam telah melakukan ujian calitan ke atas lebih 130 staf seperti mana dalam kes di Permaisuri Mall sebelumnya,ā€ katanya.

Ujar kenyataan itu, pada Khamis lalu (13 Mei) pasaraya eMart Riam mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihak pengurusan pasaraya terbabit telah melakukan semua pembersihan dan pematuhan terhadap keperluan prosedur operasi standard (SOP).

ā€œMereka yang dikenal pasti sebagai kontak dekat akan dihantar ke pusat kuarantin,ā€ ujarnya.

Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata Pasukan penguatkuasa juga telah pergi ke lapangan serta melakukan rondaan di pusat membeli-belah bagi memantau situasi terkini di Pasaraya Mart Riam.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta orang ramai untuk tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat yang tidak disahkan kerana ia berupaya menimbulkan situasi panik di kalangan masyarakat setempat.

“Adalah menjadi kesalahan menyebar khabar angin atau membuat serta menyebarkan berita palsu yang boleh dikenakan hukuman berat,” katanya. ā€” DayakDaily