SOP ketat diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di Bintulu

Jack (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang petugas barisan hadapan.

KUCHING, 15 Mei: Samada tempoh prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bintulu akan dilanjutkan atau sebaliknya akan diketahui bergantung kepada situasi semasa kes Covid-19 di bahagian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBB) Jack Aman Luat berkata, pihaknya akan bermesyuarat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan mengenainya.

“JPBB Bintulu akan bermesyuarat bagi menentukan sama ada ia akan diteruskan dan juga kita akan lihat keadaan.


“Kita akan beritahu nanti sama ada disambung atau sekiranya ada pindaan kepada SOP,” katanya dalam laporan Unit Komunikas Awam Sarawak(Ukas).

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan dalam Program Sanjungan Budi Semarak Kasih Syawal di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Persisir Jepak Kuala Tatau pada Jumaat.

Menurut Jack, JPBB Bintulu tidak boleh membelakangi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berhubung perkara itu.

Mengulas mengenai program tersebut, Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu menjelaskan ia adalah kerjasama pihak Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Bahagian Bintulu dan Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM).

“Ia merupakan penghormatan kita dan juga terima kasih kepada petugas barisan hadapan seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sebagainya yang tidak dapat balik berhari raya kerana tugas-tugas penting di SJR,” ujarnya.

Sebanyak 11 SJR di Bahagian Bintulu dengan 9 terletak di Daerah Bintulu dan dua di Daerah Tatau yang merupakan terbanyak di Sarawak. — DayakDaily