Jabatan Tenaga Kerja Sarawak lancar Ops Balak

Pegawai Jabatan Tenaga Kerja Sarawak melakukan operasi di sebuah kem pembalakan.

Oleh Dean Adam

KAPIT, Jan 30: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak telah melancarkan Ops Balak di sebuah kem balak yang terletak di sini baru-baru ini.

Operasi tersebut diketuai oleh, Pengarah Tenaga Kerja Sarawak, Awang Raduan Awang Omar bersama enam pegawainya.

Menurut kenyataan medianya, pasukan itu telah mengambil masa 13 jam dari Pekan Kapit untuk tiba ke kem balak yang berada di kawasan pendalaman di situ.

Katanya, operasi itu bertujuan untuk memeriksa tempat pekerjaan di sektor pembalakan bagi memastikan pematuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan yang sedang dikuatkuasakan, termasuk Ordinan Buruh Sarawak, Akta Majlis
Perundingan Gaji Negara dan Akta Umur Persaraan Minimum.

“Operasi khas yang dijalankan ini juga merupakan salah satu program ‘outreach’ yang dilancarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Sarawak pada awal tahun ini.

“Pemeriksaan yang dijalankan ini adalah untuk memastikan pekerja-pekerja yang digaji di kawasan pendalaman Sarawak tidak terlepas daripada perlindungan undang-undang buruh terutamanya hak-hak mereka yang termaktub di bawah undang-undang tersebut,” menurut kenyataan media itu.

Tambah kenyataan itu, ia adalah termasuk penetapan waktu kerja dalam kontrak perkhidmatan, pemberian hari rehat dan hari kelepasan oleh majikan, pembayaran gaji kerja lebih masa, gaji kerja pada hari rehat dan gaji kerja hari kelepasan berbayar, masa pembayaran gaji kepada pekerja, pembayaran gaji minimum dan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan.

Katanya, hasil pemeriksaan telah mendapati beberapa pelanggaran undang-undang telah berlaku, antaranya kegagalan majikan menyediakan dan menyimpan daftar pekerja yang lengkap, kegagalan majikan membayar gaji hari kelepasan kepada pekerja, terutamanya pekerja yang dibayar gaji ikut kerja, menetapkan waktu kerja yang melebihi tempoh masa 10 jam dalam 1 hari, kegagalan majikan membayar gaji lebih masa mengikut kadar yang ditetapkan, kegagalan majikan
membayar gaji dalam masa yang ditetapkan, kegagalan majikan mempamerkan notis hari rehat, membayar gaji melalui bank tanpa kebenaran pekerja dan membuat potongan gaji selain dari potongan yang dibenarkan.

“Sehubungan itu, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak telah mengeluarkan notifikasi pelanggaran kepada majikan yang terbabit supaya mengambil tindakan pembetulan terhadap pelanggaran-pelanggaran di atas.

“Sekiranya majikan gagal berbuat demikian, kertas siasatan akan dibuka dan majikan yang melanggar undang-undang tersebut boleh dihadapan ke mahkamah.

“Jabatan Tenaga Kerja Sarawak juga akan meneruskan operasi khas di tempat-tempat yang lain bagi memastikan pekerja yang digaji dalam pelbagai sektor menikmati hak-hak statutori yang diberikan kepada mereka di bawah undang-undang,” katanya. — DayakDaily