Fasa pertama kios penjaja berkuasa solar dilancarkan di kawasan MPKS

Rubiah (empat dari kanan) bersama Peter (lima dari kanan), penduduk Kota Samarahan dan kakitangan MPKS menunjukkan kios penjaja berkuasa solar yang diserahkan kepada enam penerimanya semasa majlis penyerahan di Perpustakaan MPKS.

KUCHING, Jan 30: Seramai enam orang penduduk kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah menjadi penerima fasa pertama kios penjaja berkuasa solar yang setiap satu bernilai RM15,000 di Perpustakaan MPKS, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang telah merasmikan majlis penyerahan enam kios terbabit kepada penerimanya terdiri dari golongan miskin berdaftar dibawah e-Kasih dengan majlis juga turut dihadiri Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos.

Penerima terbabit ialah Misiah Mat, Rohaina Sabki, Haminah Razali, Zaiton Ahmad dan Raduan Kamari dari Kampung Baru di Kota Samarahan manakala seorang penerima lagi Saami Morshidi dari Kampung Sebandi Ulu, Asajaya dengan mereka akan mengunakan kios bagi menjalankan perniagaan menjual pelbagai makanan dan minuman.


Kios penjaja berkuasa solar itu merupakan projek perintis bagi membantu mengurangkan kemiskinan dengan peruntukan sebanyak RM120,000 diumumkan kerajaan pusat tahun lepas bagi menyediakan tujuh kios tersebut kepada penduduk negeri ini tetapi peruntukan hanya diterima tahun ini selepas kerajaan pusat baru memutuskan bersetuju meneruskannya.

Sebanyak enam kios itu diberikan kepada penduduk kawasan pentadbiran MPKS manakala satu kios kepada penduduk di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Simunjan dengan setiap penerima kios turut menerima peralatan berniaga bernilai RM4,500 serta RM500 bagi mereka menjalani kursus motivasi dan literasi kewangan.

Rubiah dalam ucapannya berkata kios terbabit adalah berkuasa solar kerana didapati sebelum ini bantuan gerai menjual makanan yang pernah diberikan kepada penduduk di Kota Samarahan mendapat sambutan ketika waktu malam tetapi gerai tiada bekalan kuasa elektrik.

“Kita tidak pasti samada projek ini akan diteruskan. Sehubungan itu saya berharap enam penerima kios terbabit dapat membuktikan kemampuan mereka (menambah pendapatan dengan kios itu),” katanya.

Katanya ini kerana sebelum ini sehingga 80 peratus kaedah diperkenalkan bagi membantu penduduk miskin di negara ini menambah pendapatan mereka yang dilaksanakan agensi kerajaan telah gagal malahan ada golongan miskin turut menjual barangan bantuan perniagaan dari kerajaan yang diterima mereka.

Rubiah berkata pada 1981, kadar kemiskinan di Sarawak melebihi 30 peratus jumlah penduduk negeri ini tetapi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas mendedahkan Sarawak ketika ini menyaksikan penurunan kadar terbabit sebanyak 0.9 peratus sehingga 1.5 peratus setiap tahun. — DayakDaily