Isu sekolah daif: Motif Guan Eng dipersoalkan

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, Julai 23: Naib president Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyoal motif sebenar Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang seolah-olah memberi pelbagai syarat untuk menyelesaikan masalah sekolah-sekolah daif di Sarawak.

Menurut Abdul Karim, Sarawak telah bersetuju dengan isyarat-isyarat yang ditetapkan oleh kerajaan pusat sebelum ini, tetapi Lim sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang dianggap memberi syarat baru untuk kerajaan negeri ini.

“Sekarang bila Sarawak sudah setuju (dengan syarat-syarat yang detetapkan sebelum ini), Menteri Kewangan menetapkan macam-macam syarat dan menujukkan tiada kesungguhan untuk masalah diselesaikan. Tindakan Lim Guan Eng semacam hendak mempolitikkan dan menyusahkan agar program baik pulih ini gagal,” menurut Abdul Karim dalam satu kenyataan media di sini hari ini.


Justeru, beliau menyeru agar pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Chong Chieng Jen menasihati Lim supaya jangan mempolitikkan isu sekolah daif di Sarawak.

“Dimana kah YB Chong dan DAP Sarawak? Kenapa tak nasihatkan boss mereka agar jangan “membunuhkan” hasrat pelajar-pelajar Sarawak yang mahu belajar dalam suasana yang lebih baik dengan menyusahkan program baikpulih sekolah ini? Jangan perkara-perkara seperti sekolah pun nak dipolitikkan!” menurut Abdul Karim.

Beliau yang merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan menganggap tindakan Lim sebagai cuma mempolitikkan keadaan sekolah-sekolah daif di Sarawak dan menganggap tindakan beliau sebagai tidak bertanggungjawab.

“Beliau tahu benar tentang kedaifan prasarana sekolah-sekolah yang amat memerlukan baik pulih. Walaupun tanggungjawab ini adalah tanggungjawab kerajaan pusat, kerajaan negeri telah sanggup untuk membantu dengan meminjam RM1 billion kepada kerajaan pusat agar masaalah ini yang telah berlarutan terlalu lama dapat diselesaikan,” katanya.

Semalam, Lim mengeluarkan satu kenyataan bahawa Sarawak harus menyalurkan dana sebanyak RM350 juta kepada kerajaan pusat bagi melunaskan sebahagian hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat, bagi tujuan membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak.

Ini ialah sulusan kenyataan daripada kerajaan negeri Sarawak baru-baru ini bahawa ia akan melunaskan sebahagian daripada hutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM1 billion, bagi tujuan sama.

Ini ialah kali kedua Lim mengeluarkan kenyataan kerajaan Sarawak harus membayar hutang kepada kerajaan pusat. — DayakDaily