Isu permohonan status warganegara: Pihak kerajaan negeri akan bertemu Muhyiddin

Datuk Seri Fatimah Abdullah - file pic

KUCHING, Jan 15: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putra Jaya pada Februari 22 depan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai permohonan mendapatkan status warganegara Malaysia bagi kanak-kanak di negeri ini yang tiada sebarang status warganegara dalam sijil kelahiran mereka.

“Kementerian ini dan JPN Sarawak telah diberikan temujanji dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putra Jaya pada Februari 22 depan. Kami akan menjelaskan kepadanya kepentingan permohonan terbabit diluluskan dalam tempoh dua tahun kerana ada kaitan dengan pendidikan kanak-kanak terbabit dan mengelakkan mereka tercicir persekolahan,” katanya selepas melawat dan bertemu ibu bapa pelajar di Pusat Jagaan Kanak-Kanak D’Wira di sebuah rumah bunglow di Jalan Sky Garden, Swee Joo Park, di sini, hari ini.

Fatimah menjelaskan kanak-kanak terlibat telah gagal mendapatkan status warganegara Malaysia selepas kelahiran kerana ibu bapa mereka yang salah seorangnya warga asing telah berkahwin tanpa mematuhi undang-undang perkahwinan negara ini.

Beliau berkata setakat Oktober tahun lepas, pihaknya sudah menerima keseluruhannya sebanyak 561 permohonan bagi mendapatkan status warganegara Malaysia bagi kanak-kanak tersebut di seluruh negeri mengikut Seksyen 15 (A) Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun telah diumumkan mulai 2019 ini, kanak-kanak terbabit dibenarkan Kementerian Pendidikan untuk belajar di sekolah biasa selama dua tahun sementara menunggu permohonan mereka itu diluluskan KDN,” katanya.

“Tetapi ibubapa perlu menunjukkan resit dari JPN mengesahkan telah ada memohon kewarganegaraan Malaysia bagi anak mereka itu kepada pihak sekolah disamping ibu bapa juga perlu membayar yuran persekolahan sebanyak RM120 setahun dan bayaran insuran sekolah sebanyak RM160 setahun bagi seorang anak mereka itu,”katanya.

Pihaknya khuatir tidak semua ibu bapa terbabit akan mampu dan sehubungan itu akan memohon dengan Kementerian Pendidikan supaya yuran persekolahan terbabit boleh dibayar ibu bapa secara bulanan dan mereka juga boleh memilih untuk tidak membayar insuran sekolah anak. — DayakDaily