Bau busuk bongkar penemuan mayat lelaki hampir reput

Pasukan polis sedang melakukan siasatan di tempat kejadian.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 15: Misteri bau busuk dari sebuah rumah kosong di Jalan Ong Tiang Swee di sini hari ini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai mati dibunuh.

Mayat lelaki tanpa sebarang identiti itu ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi pihak polis berhubung penemuan tersebut kira-kira pukul 10 pagi.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak,(JSJ) SAC Denis Leong berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang lelaki.

Katanya, siasatan awal mendapati keadaan fizikal mangsa sudah hampir reput dan dipercayai sudah mati dalam tempoh lebih daripada 48 jam.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Namun, pemeriksaan awal yang dilakukan oleh petugas perubatan mendapati terdapat kesan luka pada badan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Denis menambah, pihaknya juga memita orang awam yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil membantu siasatan.

“Buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. — DayakDaily