Insiden tanah runtuh di Ulu Katibas bukan disebabkan aktiviti pembalakan

Datu Hamden Mohammad

KUCHING, 6 Mac: Insiden tanah runtuh yang berlaku di Ulu Katibas beberapa hari lalu dipercayai akibat daripada limpahan hujan setempat yang berterusan dan lebat, kata Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Hamden berkata, ia bukan disebabkan oleh aktiviti pembalakan.

Katanya, tinjauan pada 3 Mac lalu mendapati terdapat kira-kira 10 kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan tadahan Ulu Katibas.


“Hasil tinjauan awal kami mendapati punca kejadian tanah runtuh itu berlaku disebabkan oleh limpahan hujan setempat yang lebat berlaku di kawasan tadahan Ulu Katibas.

“Berdasarkan dapatan daripada satelit yang kami peroleh pada 3 Mac lepas, terdapat sekurang-kurangnya 10 tapak berlakunya tanah runtuh di kawasan tadahan tersebut,” jelas beliau.

Hamden berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Pengurusan Hutan Tropika Lestari yang berlangsung di sini, hari ini.

Tambah beliau, salah satu tapak berlakunya tanah runtuh itu adalah di Sanktuari Hidupan Liar Lanjak Entimau.

“Buat masa sekarang, kejadian tanah runtuh ini berlaku kebanyakkannya di Sanktuari Hidupan Liar Lanjak Entimau.

“Kita sedia maklum tiada sebarang aktiviti pembalakan berlaku kerana ia merupakan kawasan yang dilindungi sepenuhnya,” jelas beliau lagi.

Ekoran daripada kejadian tersebut, beliau memberitahu bahawa serpihan kecil kayu daripada bahagian hulu dihanyutkan ke dalam beberapa sungai.

Ia termasuk Sungai Nyawai, Sungai Takai dan Sungai Kalimau Besi sehingga mengakibatkan paras air meningkat di kawasan hulu kawasan tersebut. — DayakDaily