Insiatif isytihar harta tidak jujur jika untuk tujuan politik, kata Abdullah Saidol

Abdullah (empat dari kanan) menyempurnakan 'gimmik' perasmian Ramah Tamah Gawai Raya UKAS bersama Media dan Pegawai Perhubungan Awam 2019.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 3: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol menyambut baik usul mewajibkan semua Ahli Parlimen wajip mengisytiharkan harta masing-masing yang diluluskan Dewan Rakyat kelmarin (Julai 1).

“Selagi ianya termaktub dalam undang-undang dan untuk tujuan meningkatkan ketelusan, apa salahnya.


“Tetapi jika ianya untuk tujuan politik yang ada agenda-agenda tertentu, maka inisiatif itu sebenarnya tidak jujur,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Gawai Raya Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS) bersama Media dan Pegawai Perhubungan Awam 2019 di salah sebuah hotel di Kuching semalam.

Menurut Abdullah lagi, perkara tersebut bukan baharu di Sarawak dan telah dipraktikkan semasa era Arwah Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem) sebagai Ketua Menteri.

Arwah Tok Nan, katanya, telah memperkenalkan ikrar integriti kepada ahli-ahli yang berhormat termasuk semua setiausaha politik.

“Perkara ini diperkuatkan lagi oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dimana beliau telah memperkenalkan ikrar bebas rasuah untuk ahli-ahli kabinet negeri.

“Semasa mempengerusikan mesyuarat pertama kabinet sebagai ketua menteri, Abang Johari mengejutkan semua ahli kabinet dan meminta mereka menandatangai ikrar bebas rasuah.

“Proses menandatangi ikrar terebut disaksikan Menteri di pejabat Perdana Menteri ketika itu dan pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujar beliau.

Dengan itu, tambah Abdullah, Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia melaksanakan ikrar integriti.

Selain itu, Sarawak juga negeri pertama melaksanakan ikrar bebas rasuah, tegas beliau.

Usul mencadangkan setiap ahli Parlimen wajib mengisytiharkan harta mendapat persetujuan sebulat suara ahli-ahli Dewan Rakyat kelmarin (Julai 1).

Perkara itu diumumkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan terpakai kepada semua ahli Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak-anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, dan pemegang amanah berkaitan.

Dengan keputusan itu, ahli Parlimen diberikan tempoh tiga bulan sehingga Okt 1 untuk mengisytiharkan harta masing-masing. — DayakDaily