Ikan kembong antara tangkapan lumayan nelayan Mukah

Perahu nelayan Kampung Litung, Mukah.

Oleh Pasukan D’Drift

MUKAH, 14 Okt: Ikan kembong lelaki antara tangkapan lumayan di perairan Mukah yang sering melimpahkan rezeki kepada para nelayan tempatan.

Menurut Mazaian Norsidi, seorang nelayan dari Kampung Litung, ia disifatkan sedemikian kerana saiz ikan tersebut yang lebih besar dengan harga di pasaran mencecah RM25 sekilogram.


“Jumlah tangkapan bagi ikan kembong lelaki ini agak banyak pada satu-satu masa, jika bernasib baik.

“Namun demikian, perairan Mukah ini memang kaya dengan hasil laut seperti ikan puput, senangin, tenggiri, anak ikan jerung dan yang lain,” katanya ketika di temui pasukan D’Drift di Muara Kuala Mukah.

Mazaian ditemui ketika sedang menjahit pukat ditemui di Muara Kuala Mukah.

Mazaian, 40, ditemui ketika sedang menjahit pukat di atas perahunya yang diikat di tebing sungai berhampiran Muara Kuala Mukah.

Dalam pada itu, Mazaian berkata kehidupan sebagai seorang nelayan memang sudah serasi dengan penduduk di Kampung Litung sejak dahulu lagi.

Bagi dirinya jelas beliau, berada di lautan memberi satu ketenangan dan jika cuaca mengizinkan akan berada di lautan setiap hari untuk menangkap ikan.

“Pukul 4 pagi saya sudah bersedia untuk ke laut dan akan berada lebih kurang 10 batu dari pantai di kawasan yang telah dikenalpasti ada banyak ikan.

“Saya tidak berseorangan, ada 4 atau 5 perahu (kawan saya) lain yang turut melabuhkan pukat di kawasan yang sama.

“Kita akan balik sekitar jam 8 pagi, manakala hasil tangkapan akan dijual di pasar basah Mukah,” ujarnya.

Muara Kuala Mukah yang menjadi laluan para nelayan ke lautan.

Tambah Mazaian, beliau mempelajari selok belok sebagai seorang nelayan sejak kecil lagi setelah menamatkan sekolah rendah.

Setelah sekian lama mengikuti kapal besar, Mazaian kemudiannya menjadi nelayan persendirian sejak 4 tahun yang lalu.

Beliau memiliki sebuah bot bersama enjin sangkut 40 kuasa kuda yang diperolehi menerusi pinjaman bank dan subsidi serta bantuan yang diberikan kerajaan termasuk dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurut bapa kepada 3 orang anak perempuan itu, bantuan yang disediakan oleh kerajaan adalah sangat baik termasuk bantuan musim tengkujuh.

Hajiji turut berada diatas perahu menjahit pukat.

Dalam pada itu, Hajiji Norsidi, 56, yang ditemui berkata penduduk Kampung Litung, Mukah memang memiliki kepakaran menangkap ikan di laut sejak dahulu lagi.

Katanya yang juga abang kepada Mazaian, kepakaran itu terus diwarisi generasi seterusnya dan kini terdapat lebih kurang 100 nelayan dari kampung tersebut.

“Perairan Mukah sentiasa melimpahkan rezeki kepada nelayannya, ia kaya dengan sumber ikan.

“Pada musimnya, perahu besar dari Sibu dan Bintulu akan tutur berada di perairan Mukah untuk menangkap ikan,” ujar Hajiji. — DayakDaily