Padah mengupah pekerja asing tanpa kebenaran, 2 kapal nelayan tempatan ditahan bersama 8 krew

Krew dari kedua-dua buah vessel ditahan untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

BINTULU, 25 Nov: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan dua vesel nelayan tempatan disyaki mengupah pekerja asing tanpa kebenaran.

Penahanan pertama dilakukan pada 22 Nov sekitar jam 12.30 tengah hari pada jarak lebih kurang 8 batu nautika dari Kuala Balingian.


Penahanan kedua pula dilakukan pada 24 Nov sekitar jam 6 petang pada jarak lebih kurang 7 batu nautika dari Sungai Likau, Sarawak.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, penahanan ini dibuat semasa aset Zon Maritim Bintulu melakukan rondaan rutin dan telah mengesan kedua-dua vesel dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel tersebut, masing-masing dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong.

Kesemuanya warga Indonesia berumur dalam lingkungan 24 hingga 68 tahun dan kesemua kru bagi kedua-dua vesel tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri iaitu passport tetapi tidak mempunyai permit untuk bekerja di atas vesel nelayan daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Semakan ke atas pasport, terdapat beberapa kru bagi kedua-dua vesel yang telah memasuki Malaysia semenjak bulan Julai 2022 menggunakan pas lawatan tetapi tidak keluar semula Malaysia semula sehingga pada tarikh ditahan.

Untuk makluman, memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan hanya sah selama 30 hari sahaja.

Maritim Malaysia turut menyita dua buah vesel, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda dan pukat hanyut, beserta 80 kilogram ikan campur yang dipercayai baru ditangkap bagi vesel pertama dan 1,000 kilogram ikan campur pada vesel yang kedua.

Kesemua kru beserta vesel nelayan ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

Kedua-dua vesel tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana menggaji pekerja asing tanpa kebenaran yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Selain daripada itu, kesemua kru yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang telah ditetapkan yang mana boleh dihukum dibawah Seksyen 15(4) akta yang sama jika disabitkan bersalah denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut serta mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily