Buaya sangkut dalam pukat nelayan di Lundu

Buaya sepanjang dua meter yang ditangkap di pantai di Lundu.

LUNDU, 7 April: Seekor buaya sepanjang dua meter terperangkap di pukat nelayan di pantai Kampung Cina Sempadi, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan pada jam 8.28 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi, didapati terdapat seekor buaya terperangkap di dalam pukat nelayan dan pasukan Bomba terus bertindak menangkap buaya tersebut dengan mengikatnya menggunakan tali.

“Buaya tersebut kemudian dihantar ke Jabatan Perhilitan Matang menggunakan kenderaan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.30 pagi. — DayakDaily