Dua ditangkap berkelah dengan dadah di Bogag, Bau

Lokasi serbuan dan tempat kedua-dua suspek ditangkap.

BAU, 14 Okt: Dua lelaki ditangkap ketika sedang berkelah sambil ‘menikmati’ dadah di tepi sungai Kampung Bogag, Jalan Serikin-Bau semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata kedua-dua suspek berusia 29 dan 23 tahun, masing-masing dari Kampung Stass dan Kampung Bogag.

Katanya, mereka ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Bau kira-kira jam 11.15 pagi.

“Pemeriksaan menjumpai satu paket plastik kecil lutsinar berisi syabu di atas meja tempat mereka sedang lepak.

“Hasil saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, siasatan awal mendapati suspek membeli dadah daripada seorang rakan.

Beliau berkata kedua-dua suspek akan dipohon reman esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.

“Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak lemebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dihukum penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya. — DayakDaily