Identiti dua mangsa maut insiden Kapal MV Dayang Topaz dikenalpasti

Petugas kesihatan dan agensi penguatkuasa memindahkan mangsa dari kapal penyelamat ke daratan (Pelabuhan Miri) sebelum dihantar ke Hospital Miri (27 Oct 2020).

KUCHING, 28 Okt: Identiti dua mangsa yang maut dalam insiden pelangaran Kapal MV Dayang Topaz semalam dikenal pasti selepas urusan pengecaman dan pemgesahan identiti mangsa dilakukan.

Ketua polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan kedua mangsa terbabit dikenali sebagai Thomas Liang, 39 dan Aaron Micheal Rayasgaran, 35.

“Benar itu adalah identiti kedua-dua mangsa yang maut seperti yang telah disahkan oleh Syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebelum ini,” katanya

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut itu diterbangkan terus dari pelantar Baram B menggunakan pesawat AW189 Petronas selamat tiba jam 5.40 petang semalam di pangkalan udara Miri.

“Kedua-dua mangsa ini merupakan antara 187 anak kapal yang berada dalam kapal MV Dayang Topaz ketika kejadian malang menimpa kapal terbabit sekitar jam 6.45 pagi semalam,” katanya

Dalam kejadian berkenaan, kabel sauh kapal terbabit putus susulan cuaca buruk menyebabkannya kapal terbabit tidak dapat dikawal lalu hanyut dan melanggar pelantar Baram B di kedudukan 7.7 batu nautika dari Kuala Baram.

Kejadian itu mendorong 125 anak kapal tersebut terjun ke laut manakala 62 lagi berada di atas kapal tersebut.

Semalam pemangku Pengarah Bahagian Carilamat dan bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Komander Maritim Dr Suzanna Razali Chan menerusi satu kenyataan mendedahkan kesemua 173 anak kapal terbabit selamat dibawa kedaratan manakala 12 lagi masih berada di Kapal Dayang Topaz untuk mengendalikan kapal terbabit.

Katanya, kesemua anak kapal tersebut turut menjalani ujian saringan Covid-19 dan ditempatkan di sebuah hotel bagi urusan kuarantin selama 14 hari.

“Operasi Carilamat tersebut kita tamatkan jam 8.00 malam selepas semua anak kapal iaitu seramai 173 orang sudah dibawa ke darat manakal 12 lagi masih berada di atas Kapal MV Dayang Topaz iaitu dalam jarak bersauh sekitar 4 batu nautika dari perlabuhan,” katanya. — DayakDaily