Lima meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Pakan

Anggota Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BINTANGOR, 19 Dis: Lima orang disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi parah dan seorang cedera ringan dalam kemalangan dua buah kenderaan di Jalan Pakan, berdekatan SK Strass, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 3.36 petang.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah Perodua Bezza.


“Seramai tiga mangsa di dalam Hilux, pemandu dan penumpang hadapan cedera parah, manakala penumpang belakang cedera ringan.

“Seramai lima mangsa iaitu tiga lelaki dan dua wanita di dalam kereta Perodua Bezza semua disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, Bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada KKM, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Selesai operasi, pihak Bomba kemudian berangkat balik ke balai,

Identiti kesemua mangsa masih belum diketahui, sementara siasatan polis masih dijalankan. ā€” DayakDaily