Hanya 3 wakil dalam GLCs dan 20 ahli majlis, Wanita PRS mahu keadilan dan kesaksamaan

Doris (tiga dari kiri) dan Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Majang pada Perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan (TDC) Ke-5.

Oleh Chris Bishop

SIBU, 23 April: Hanya 3 pemimpin wanita daripada Sayap Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) diberi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLCs).

Menurut Ketuanya Dato Sri Doris Sophia Brodie, ia satu angka yang rendah serta tidak mengambarkan keadilan dan kesaksamaan jika dibandingkan dengan jumlah ahli wanita yang hampir setengah daripada jumlah keseluruhan ahli PRS.


“Adakah ini adil bagi ahli wanita di dalam parti yang seramai kurang lebih 24 ribu, iaitu setengah dari jumlah 51,178 keahlian PRS.

“Wanita juga diberikan hanya 20 jawatan ahli majlis daripada 112 yang di peruntukan kepada PRS setakat ini?

“Oleh yang demikian, sayap Wanita meminta agar parti tidak mengambil mudah atau memperlekehkan segala usaha kami dan mengharapkan pihak kami sentiasa dihargai dan diberi keadilan serta inklusif secara adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan (TDC) Ke-5 Pergerakan Wanita Dan Pemuda PRS di sebuah hotel di sini, hari ini.

Persidangan telah dirasmikan Naib Presiden PRS yang juga Pengerusi TDC Ke-5 Dato Majang Renggi.

Tambah Doris, lebih menyedihkan apabila ada kawasan parlimen dan DUN PRS yang langsung tidak ataupun hampir tidak pernah mencalonkan ahli Wanita sebagai penerima anugerah negeri mahupun persekutuan?

Mengambil contoh Majlis Tertinggi PRS, beliau berkata tiada seorang pun Wanita yang dipilih dan cuma ada 4 wanita melalui lantikan.

“Saya tidak dapat dapat lupa peristiwa semasa TDC di Bintulu pada tahun 2016 di mana sayap wanita mencalonkan seorang ahli Wanita untuk bertanding sebagai ahli majlis tertinggi parti.

“Hasrat kami hanya satu, ‘we want to be included we want to have a sense of belonging’. Keputusan ketika itu, amat menyedihkan kerana beliau antara yang paling sedikit mendapat undi.

“Saya percaya, mungkin hanya ahli Wanita sahaja yang memberi sokongan dan memberi undi kepada beliau ketika itu. Yang lain mungkin lebih kepada ‘faction’ ataupun simply ‘men-centric’. Itu bezanya! ,” jelas Doris.

Mengulas lanjut, beliau berkata perwakilan Wanita dalam menjawat kedudukan di dalam mahupun di luar parti masih jauh daripada apa yang boleh diterima.

Katanya, ia amat tidak setimpal, ia tidak mencerminkan jumlah, usaha, sumbangan dan pengorbanan sayap Wanita di dalam parti ini.

“Sebagai Ketua Wanita dalam parti ini, saya bertanggungjawab untuk bersuara bagi pihak ahli sayap Wanita PRS yang saya pimpin.

“Ia juga merupakan tugas utama saya untuk mengetengahkan isu-isu dan hal-hal yang berkaitan dengan wanita dalam parti ini. Saya akan tetap lantang bersuara,” tegas Doris. — DayakDaily