Guru besar digesa bersedia untuk SKPMg2

Rakayah (kanan) membunyikan loceng sebagai simbolik merasmikan penutupan Persidangan Guru Besar Sarawak Zon Selatan 2018.

KUCHING, Mac 22: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak mengingatkan semua guru besar di negeri ini supaya bersedia diukur kualiti sekolah mereka dengan instrumen pengukuran baru dinamakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2).

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Rakayah Madon berkata SKPMg2 adalah lebih komprehensif dan dapat menjadi instrumen utama baru yang dapat mengukur kualiti sekolah dengan lebih tepat.

“Instrumen SKPMg2 ini mengandungi bahan-bahan yang dikelompokan dalam lima standard iaitu pertama ialah kepimpinan, kedua ialah pengurusan organisasi, ketiga ialah pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid, keempat ialah pembelajaran dan pemudahcaraan, dan kelima ialah kemenjadian murid,” katanya dalam teks ucapannya ketika mewakili Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee merasmikan penutupan Persidangan Guru Besar Sarawak Zon Selatan 2018, di sini, semalam.

Rakayah bagaimanapun tidak mendedahkan butiran pengunaan instrumen SKPMg2 bagi mengukur kualiti sekolah di negeri ini tetapi data ‘baseline’ pertama bagi instrumen itu dijangka boleh dijana pada Julai tahun ini.

Katanya kualiti sekolah sebelum ini diukur mengunakan instrumen dinamakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), bagaimanapun instrumen terbabit kerap kali dilengkapkan dengan penunjuk lain seperti pencapaian akademik sekolah.

“Amalan ini akan berakhir dengan isu peratusan pemberat markah yang “adil” dan secara tidak langsung merupakan kelemahan utama SKPM untuk dijadikan kayu ukur yang standard kepada kualiti sekolah,” katanya.

Disamping itu, beliau juga mendedahkan setakat ini sebanyak tiga kohort sekolah di negeri ini telah terlibat dengan program Transformasi Sekolah (TS25) yang mengunakan pendekatan “penambahbaikan seluruh sekolah”.

Katanya kohort pertama membabitkan sebanyak 10 sekolah, kohort kedua juga membabitkan sebanyak 10 sekolah dan kohort ketiga membabitkan sebanyak 43 sekolah.

“Dijangkakan menjelang 2020, terdapat 1,800 sekolah di seluruh Malaysia yang melaksanakan program TS25. Sekolah yan terbabit dengan program TS25 ini akan menjadi model sekolah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM),” katanya.

Sementara itu, Rakayah juga mahu guru besar di negeri ini menjadi pemimpin dalam usaha meningkatkan lagi prestasi sekolah masing-masing. — DayakDaily