24 calon SPM 2017 peroleh semua A+

Rakayah (barisan depan, tengah) merakam gambar bersama pelajar SPM 2017 di Kuching.

KUCHING, Mac 15: Seramai 24 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di Sarawak memperoleh pencapaian A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil mereka.

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Rakayah Madon berkata, pada masa sama seramai 23 lagi pelajar mencatatkan keputusan 10A+ dan 11A+ dalam SPM 2017.

Menurutnya, seorang pelajar, Angel Lai An Ge dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Sibu pula berjaya memperoleh keputusan 12A+ dan merupakan pelajar terbaik secara keseluruhannya di negeri ini.


“Manakala bagi pencapaian keseluruhan SPM 2017, Sarawak telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.17 peratus berbanding 2016.

“Gred Pencapaian Negeri (GPN) SPM tahun ini merekodkan pencapaian lebih baik iaitu 5.17 peratus berbanding 5.34 peratus tahun lalu,” katanya semasa mengumumkan keputusan SPM 2017 di sini hari ini. — DayakDaily