Sebuah rumah panjang di Saratok terbakar, 75 penghuni hilang tempat berteduh

Gambar fail untuk tujuan ilustrasi sahaja. Foto: Pixabay

SARATOK, 26 Mac: Rumah Panjang Joshua Mitas di Jalan Pan Borneo Simpang Ulu Awek Saratok, dilaporkan terbakar pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata rumah panjang 11 pintu jenis dua tingkat itu dilaporkan terbakar sekitar jam 10.25 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Saratok terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.


“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang 11 pintu, dua tingkat jenis kekal.

“Kejadian tersebut telah memusnahkan tujuh pintu (unit), manakala satu pintu telah terbakar 50 peratus dan tiga pintu lagi berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, rumah panjang tersebut didiami 75 orang penghuni.

“Kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

Punca kejadian dan anggaran kerugian sedangi dalam siasatan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.30 petang. ― DayakDaily