Perompak putih mata, diikat dan diserahkan kepada polis

Tangkap layar dari video kejadian tersebut yang dikongsi orang ramai melalui WhatsApp. Kelihatan dua mangsa yang mengalami kecederaan semasa bergelut dengan suspek.

KUCHING, 9 April: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditangkap selepas dikatakan cuba merompak sebuah rumah di Jalan Stephen Yong-Batu Kawa awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.30 pagi apabila suspek yang bertopeng telah memasuki rumah tersebut dengan bersenjatakan pemutar skru dan pisau.

Katanya, suspek terus bertindak menahan dua lelaki (adik beradik) dan cuba mengikat mereka tangan mereka.


“Pergelutan berlaku di antara mangsa dan suspek sehingga suspek berjaya ditangkap oleh mangsa.

“Suspek yang merupakan warganegara Indonesia berusia sekitar 30an kemudiannya diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan akibat pergelutan yang berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera semasa melakukan rompak.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Siasatan juga dijalankan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kes masih dalam siasatan dan dinasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis.

“Orang ramai yang mempunyai bukti seperti rakaman CCTV juga dialu-alukan tampil membantu siasatan,” katanya. — DayakDaily