Fatimah: Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan diwujudkan semula

Fatimah(tiga dari kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pelaksanaan Kajian Sosial.

KUCHING, 7 April: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan Sarawak untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan bagi menangani isu kanak-kanak tiada status warganegara.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato’ Sri Fatimah Abdullah, kenyataan berhubung kelulusan tersebut telah dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri(KDN) pada minggu ini.

“Dari segi keahlian terdapat sedikit perubahan dimana kali ini ada dua pengerusi bersama.


“Ini adalah bagus kerana saya dan timbalan menteri dalam negeri akan menjadi pengerusi bersama. Bermakna kita boleh menyegerakan proses permohonan kewarganegaraan, melihat setiap kes dan memberi keputusan segera,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selesai Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pelaksanaan Kajian Sosial di antara Kementerian dan UNIMAS Holdings Sdn Bhd di sini, hari ini.

Jelas Fatimah, Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan telah diwujudkan pada 2016 namun sudah tidak berfungsi lagi setelah pertukaran kerajaan(persekutuan) pada 2019.

Katanya, ketika itu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menangani masalah kanak-kanak tiada status warganegara dan ia merupakan satu masalah kerana kanak-kanak terbabit dikategori sebagai warga asing.

Tambah beliau, ia harus diselesaikan dengan segera kerana memberi implikasi terhadap pendidikan, kesihatan dan pekerjaan kanak-kanak itu apabila meningkat dewasa.

“Tiada persekolahan, tiada masa hadapan, tiada harga diri menjadi masalah kepada seluruh keluarga dan juga komuniti, maka kita tak boleh membiarkan ini berlaku.

“Kemudiannya nanti akan menghadapi masalah mendapatkan penjagaan kesihatan seperti harus membayar jika ke klinik dan seterusnya mendapatkan pekerjaan.

“Disebabkan tiadanya dokumen ini maka masalah menjadi semakin rumit,’ujar beliau.

Dalam pada itu, Fatimah berkata jawatankuasa khas ini akan memastikan semua permohonan adalah lengkap serta peluang untuk mendapatkan kelulusan adalah tinggi.

Jelas beliau, semua permohonan akan dihatar terus ke Kementerian Dalam Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Ia tidak pergi ke Jabatan Pendaftaran Negeri, sebab ada orang salah faham bahawa JPN yang menentukan status warganegara.

“Ianya tidak, status warganegara ditentukan oleh menteri dalam negeri,’ujar beliau.

Sejak ditubuhkan pada 2016 sehingga Jun 2019, Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan telah menerima sebanyak 723 permohonan. — DayakDaily