Lelaki ditangkap disyaki jual loteri haram dalam kereta di Bau

Kereta suspek diperiksa oleh pengawai polis sebelum suspek diberkas untuk siasatan lanjut.

BAU,7 April: Seorang lelaki ditangkap polis kerana disyaki menjalankan kegiatan menjual loteri awam tanpa lesen di Jalan Ong Guan Chen, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 40 tahun dan berasal dari Taman Sam Chien, di sini ditangkap ketika dipercayai sedang leka menjalankan kegiatan haram tersebut.

Kata Poge, suspek ditangkap ketika masih berada di dalam kenderaanya, iaitu sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) sekitar jam 8.25 pagi.


“Intipan dilakukan lebih kurang 15 minit sebelum anggota kita menyerbu suspek yang berada di dalam kereta jenis Toyota Innova kerana disyaki menjalankan kegiatan perjudian loteri awam tanpa lesen.

“Hasil pemeriksaan telefon bimbit suspek juga menjumpai aplikasi untuk penjualan loteri awam tanpa lesen dan sekeping kerta bertulis angka-angka disyaki loteri awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun,” tegas Poge. — DayakDaily