Dua penganggur dicekup disyaki edar dadah

Kelihatan dadah yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 2: Dua penganggur lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dicekup menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Taman Hui Sing, malam semalam.

Serbuan sepasukan anggota polis kira-kira pukul 7.30 malam itu berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 24 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif, berkata kejayaan serbuan itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan sebelum ini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan berjaya menjumpai (3) paket campuran serbuk jus buah-buahan dan serbuk ekstasi dengan berat kasar 84.46gram.

“Polis juga menemui satu beg plastik lutsinar berisi hablur putih disyaki dadah jenis ketamine seberat 0.88gram serta satu paket plastik lutsinar berisi dua biji pil disyaki pil ekstasi seberat 1.09gram.

“Nilai rampasan kesemua dadah tersebut adalah sebanyak RM3,450,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki berkenaan telah melakukan transaksi pesanan dadah dari Sibu ke Kuching dengan menggunakan bas ekspres.

Katanya, pemeriksaan di terminal bas seterusnya menemui satu kotak kiriman di atas nama suspek.

“Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur putih disyaki dadah jenis ketamine seberat 19.50 gram.

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati seorang suspek positif dadah jenis methanphetamine, namun rakannya negatif dadah,” katanya.

Kereta dan barangan lain yang disita oleh polis.

Dalam pada itu, polis juga kata Sahar telah menyita sebuah kereta Honda City, sebuah Honda Civic, seutas rantai emas bernilai dan dua bentuk cincin emas daripada kedua-dua suspek.

“Jumlah anggaran nilai sitaan tersebut ialah dibendung RM123,250,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952. — DayakDaily