17 penghuni kehilangan rumah akibat kebakaran

Kelihatan api sedang marak membakar empat buah rumah.

Oleh Dean Adam

KAPIT, Jan 3: Seramai 17 penghuni yang mendiami empat buah rumah teres dua tingkat di Kampung Meratai, Jalan Selirik, hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka terbakar dalam satu kebakaran tengah malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah malam itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 12.39 tengah malam.

Jelasnya, sejurus itu sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar empat rumah teres berstruktur separuh kekal di situ.

“Pasukan bomba segera melakukan operasi memadam kebakaran bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, kebakaran tersebut telah mengakibatkan dua buah rumah terbakar 100 peratus, manakala dua lagi musnah kira-kira 80 dan 70 peratus.

Katanya, insiden sama juga menyebabkan sebuah motosikal dan sebuah kereta milik penghuni rumah musnah terbakar 100 peratus.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 3.55 pagi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily