Dr Yii: Tangani penyalahgunaan dadah menerusi usaha berterusan

Dr Yii (lima dari kanan) merakam gambar kenangan selepas majlis perasmian. Turut kelihatan Abang Sardon (empat dari kanan).

– oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 11: Masalah penyalahgunaan dadah menuntut usaha berterusan yang melibatkan kerjasama semua pihak untuk menyelesaikannya secara menyeluruh terutamanya dalam kalangan belia.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, walaupun statistik jumlah penagih yang dikesan di Sarawak menunjukkan penurunan, namun ia tidak bermakna boleh diambil mudah.


Katanya, usaha secara berterusan perlu diperhebatkan agar statistik tersebut terus dapat dikurangkan.

“Ini kerana penyalahgunaan dadah turut menambah beban kepada kerajaan untuk tujuan perawatan dan mereka yang terjebak dengan bahan terlarang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Taklimat Isu Semasa anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak di sini semalam.

Seramai 150 orang pelajar di Kolej Komuniti Kuching turut hadir menyertai taklimat berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Yii memberitahu, generasi muda adalah tunjang kepada negara dan oleh itu isu penyalahgunaan dadah perlu diambil berat oleh masyarakat kerana ia mengancam institusi kekeluargaan masyarakat.

Justeru katanya, usaha pencegahan untuk membanteras penyalahgunaan dadah perlu diatur dengan lebih baik oleh semua pihak terutama jabatan kerajaan dan badan sukarela.

“Jika tidak, isu penyalahgunaan dadah ini akan berlarutan terutamanya untuk menyekat kemasukan dadah dan pengedarannya,” katanya.

Terdahulu, pengisian program taklimat isu semasa diisi dengan sesi ceramah daripada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak (IPK) yang disampaikan oleh ASP Tunya Lunya.

Ceramah tersebut adalah bertujuan memberi pendedahan dan menyampaikan informasi kepada belia terutamanya pelajar mengenai trend penyalahgunaan dadah serta tindakan perundangan daripada pihak polis.

Selain itu, perkongsian kisah hidup dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut disampaikan oleh Rakan Sokong Bantu AADK Daerah Kuching, Mohamad Razid Mohamad Peter bagi memberi pengajaran kepada pelajar tentang impak negatif gejala dadah dalam kehidupan bersama AADK.

Hadir sama ialah Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Abang Sardon Abang Hashim, wakil Pengarah Kolej Komuniti Kuching Shah Nazim Sahar dan pegawai-pegawai kanan jabatan penerangan Sarawak. — DayakDaily