Covid-19: Beri perhatian golongan OKU terjejas sumber pendapatan

Rapelson Richard Hamit

KUCHING, 30 Okt: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS) berharap kerajaan memberikan perhatian dan bantuan kepada golongan orang kurang Upaya (OKU) di Sarawak yang terjejas sumber pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang  dilaksanakan  bermula 18  Mac lalu menyebabkan ramai golongan OKU khususnya OKU pengelihatan kehilangan sumber pendapatan.

“Golongan OKU cacat pengelihatan ini kebanyakkan mempunyai kemahiran sebagai tukang urut dan dengan arahan kerajaan untuk menutup pusat urut dan pusat hiburan pastinya akan mengakibatkan golongan ini kehilangan sumber pendapatan.


Justeru kami di PERAIS ini amat menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Cawangan Sarawak, Isak Ngau yang mohon agar majikan serta pekerja OKU diambil perhatian dan bantuan seperti majikan dan perkerja di semua sektor lain,” katanya.

Sementara itu Isak berkata, bantuan yang di berikan kerajaan haruslah merangkumi semua jenis perniagaan termasuklah pusat urut yang di usahakan oleh golongan OKU ini.

Katanya, terdapat 17 kedai urut yang diusahakan oleh OKU  penglihatan dan lebih 80 pengamal atau tukang urut di seluruh Sarawak merupakan golongan OKU terbabit.

“Saya dan rakan peniaga yang lain telah hilang punca pendapatan apabila Kuching menjadi zon merah Covid19 dan Kerajaan umumkan kedai hiburan dan kedai urut tutup sekali lagi buat kali kedua pada 28 Oktober baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan golongan terbabit agak memuaskan sebelum penularan wabak Covid-19 dan mampu menampung pebelanjaan mereka namun ia terjejas teruk apabila pandemik tersebut mula merebak dan kerajaan mengumumkan PKP serta penutupan operasi pusat urut dan hiburan.

“Juteru saya berharap agar bantuan kewangan BKSS RM250 sebulan dilanjutkan selama enam bulan bagi membantu golongan B40 lebih-lebih golongan OKU untuk menambah perolehan dan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Di samping itu, bakul makanan juga harus disediakan kepada OKU yang terjejas dan tidak dapat keluar kerana Kuching sudah berada dalam zon merah.

“Bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat haruslah ditambah bagi membantu golongan OKU ini dan bantuan kewangan ‘one-off’ RM500 harus diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk membantu OKU” kata Isak. — DayakDaily