APMM Sarawak lancar Ops Naga Timur kesan bot nelayan asing

Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia melakukan operasi pemantauan bot nelayan di sekitar perairan Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, 20 Julai: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak telah melaksanakan satu operasi khas yang dikenali sebagai “Ops Naga Timur” bagi mengawasi perairan negeri ini daripada kegiatan pencerobohan bot nelayan asing.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, berkata operasi khas berkenaan telah dijalankan bermula 15 Julai lalu.


Jelas beliau, setakat ini, hasil pengawasan mendapati perairan Sarawak selamat
daripada sebarang pencerobohan.

“Pengawasan yang telah dijalankan selama seminggu ini hanya mengesan kehadiran bot-bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan.

“Operasi yang dijalankan kali ini bukan sahaja melibatkan aset-aset laut APMM Sarawak, ia turut membabitkan sebuah helikopter AW139 daripada Bahagian Operasi Udara serta penglibatan Pasukan Tindakan Khas (STAR) Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam tempoh itu tiada terdapat bot nelayan asing yang kelihatan di perairan Sarawak.

Teh berkata operasi ini menunjukkan komitmen pihaknya dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan untuk menjaga perairan negara khususnya di Sarawak.

Tambahnya lagi, Bahagian Operasi Udara Maritim telah melakukan penerbangan setiap hari sehingga jarak melebihi 150 batu nautika dari daratan untuk mengesan bot-bot dari negara asing, namun dalam tempoh itu tiada terdapat bot nelayan asing yang kelihatan di perairan Sarawak.

“Kami juga merakamkan keadaan perairan Sarawak semasa pengawasan dibuat di mana banyak menunjukkan nelayan tempatan keluar mencari rezeki tanpa berhadapan gangguan daripada bot nelayan asing.

“APMM Sarawak juga ingin mengingatkan kepada kesemua pengusaha bot nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub di dalam Akta Perikanan 1985,” katanya. — DayakDaily