Maritim tangkap dua bot nelayan asing disyaki curi tangkap ikan di perairan negara

Antara nelayan warga asing yang ditangkap.

Oleh Juetila Ozzy

MIRI, 29 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Zon Miri menahan dua bot nelayan asing pada jarak lebih kurang 39 batu nautika dari Muara Sungai Miri, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, dua bot nelayan tersebut dilihat mencurigakan oleh anggotanya yang sedang menjalankan rondaan rutin di sekitar perairan Miri sekitar jam 1.00 petang.


Jelasnya, berdasarkan struktur fizikal, kedua-dua bot tersebut disyaki bot nelayan asing Vietnam, namun salah sebuah bot tersebut mengibarkan bendera Malaysia sebagai cubaan untuk mengaburi pihak penguat kuasa.

“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, kedua-dua bot tersebut disyaki telah bertindak memotong dan membuang peralatan menangkap ikan ke laut sebagai usaha untuk melupuskan barang bukti serta cuba melarikan diri dari diperiksa.

“Pihak penguatkuasa terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 30 minit untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat.

“Pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tiada memiliki sebarang dokumen atau kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, terdapat 13 kru kapal termasuk dua tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

“Kedua-dua bot bersama 13 kru beserta dua tekong, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 23,000 liter serta hasil tangkapan sekitar satu tan metrik ikan campur dirampas dan telah diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut,” katanya.

Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1.5 juta dan kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua kru akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily