Nelayan Vietnam rompak 15 tan ikan di perairan negara tumpas di tangan Maritim Malaysia

Nelayan Vietnam yang ditangkap untuk siasatan lanjut.

BINTULU, 19 Okt: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah berjaya menahan sebuah kapal nelayan asing Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata kapal tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 132 batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, Bintulu, sekitar jam 10.00 pagi semalam (Isnin).

Katanya, terdahulu Kapal Maritim (KM) Tabah telah mengesan sebuah kapal mencurigakan sedang leka menjalankan aktiviti menangkap ikan.


“Setelah dirapati oleh KM Tabah, kru vesel tersebut enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif dengan meletakkan pelbagai halangan di atas lantai vesel bagi menghalang kapal ditahan untuk diperiksa.

“Tekong bertindak mengemudi vesel secara agresif dengan cuba lolos ke perairan antarabangsa, namun terus dikejar oleh KM Tabah dan berjaya dipintas dan ditahan kira-kira sejam kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan mendapati vesel tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Manakala 18 kru termasuk tekong merupakan warga Vietnam berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 46 tahun telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong dan kesemua kru ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

“Peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 2,000 liter serta hasil tangkapan sekitar 15 tan metrik ikan campur turut dirampas,” katanya.

Keseluruhan rampasan termasuk vesel dianggarkan bernilai RM1 juta.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah.

“Siasatan juga dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala kru boleh didenda sehingga RM600 ribu setiap seorang dan vesel boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Kesemua kru akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak Covid-19 sebaik tiba di jeti. — DayakDaily