Bot nelayan asing ditahan, ceroboh perairan negara

Nelayan asing yang ditahan untuk siasatan lanjut.

TANJUNG MANIS, 10 Sept: Sebuah bot nelayan asing telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Manis kerana disyaki menangkap ikan di perairan negara secara haram.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata bot tersebut ditahan kira-kira 68 batu nautika Barat Laut Tanjung Jerijeh, pada Rabu.

Katanya, ia ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Semilang semasa rondaan Op Permai, kira- kira jam 10.26 malam.


“Semasa rondaan, kami mengesan sebuah bot nelayan yang tiada nombor pendaftaran pada bot dan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil penggeledahan dan pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan tekong dan seorang kru warga Indonesia berumur 51 dan 15 tahun, disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Siasatan awal juga mendapati bot tersebut dipercayai berasal dari Natuna Besar, Indonesia.

Bot berkenaan kemudiannya ditahan dan peralatan menangkap ikan serta sejumlah ikan turut dirampas.

Bot dan hasil rampasan diiring masuk ke Jeti Terminal Tanjung Manis untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tujuan siasatan lanjut.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis ditalian 084-613292 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily