Anak lelaki ancam ibu guna pedang samurai ditahan polis dalam Ops Gawai

Suspek mengamuk di sebuah flat Quadruplex Bandar Baru Permyjaya (lima dari kiri) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

MIRI, 30 Mei: Polis menahan dua lelaki kerana mengamuk dan mengancam ahli keluarga masing-masing dalam dua insiden berasingan pada malam Sabtu di sini.

Tangakapan dibuat sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dalam operasi yang dinamakan Ops Gawai.

Dalam kejadiam pertama, seorang suspek berusia 28 tahun ditahan di sebuah rumah flat di Lorong 10, Taman Quadruplex Bandar Baru Permyjaya selepas dia dipercayai mengeluarkan pedang samurai dan mengancam bunuh ibu kandungnya sendiri.


Mujur, dalam kejadian itu, ibunya sempat melarikan diri dan membuat laporan polis.

Suspek dikatakan tiba-tiba berang apabila permintaannya untuk mendapatkan wang dari ibunya gagal.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 2 petang semalam.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Suspek ditahan sekitar jam 8.05 malam pada hari yang sama.

Semasa tangkapan, suspek telah bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama kepada pihak JSJ.

Kekerasan munasabah telah dijalankan untuk menjayakan tangkapan tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun telah ditahan JSJ Miri selepas dia mengamuk dan disyaki mengancam isterinya sendiri.

Suspek ditahan di belakang sebuah bangunan kedai di Waterfront Commercial sekitar jam 11.35 malam Sabtu.

Sebelum itu, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah, telah dilaporkan mengamuk di rumahnya di Kampung Wireless.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Sabri Zainol, kedua-dua tangkapan ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily