Peluru hidup, samurai antara yang ditemui dalam 4WD curi dinaiki suspek

Gambar komposit berkaitan kejadian tersebut.

KUCHING, 12 Jun: Dua lelaki ditangkap dalam cubaan mereka melarikan diri daripada diperiksa polis di Jalan Tawi Sli, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30an terbabit menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Katanya, berlaku kejar-mengejar apabila suspek enggan memberhentikan kenderaannya semasa diarahkan sehingga berlaku kemalangan membabitkan kenderaan suspek dengan orang awam.


“Pihak polis kemudian bertindak memeriksa kenderaan suspek dan didapati ia dicuri di Jalan Stapok-MJC, Batu Kawa.

“Selain itu, pemeriksaan ke dalam kereta juga menemui pelbagai jenis senjata berbahaya seperti pisau, parang, samurai dan turut ditemui satu tali pinggang mengandungi beberapa butir peluru hidup yang belum digunakan dan juga kelonsong peluru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gambar komposit berkaitan kejadian tersebut.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan senjata bahaya 1958 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Suspek masing-masing mempunyai 38 dan 19 rekod jenayah lampau dengan pelbagai kesalahan,” katanya.

Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaraya negeri Sarawak untuk mendapatkan arahan bagi tindakan selanjutnya. — Dayakdaily