Agong akan tetapkan pembubaran DUN Sarawak pada satu tarikh yang sesuai

Nanta(duduk tiga dari kiri) pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 15 Mei: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan ditetapkan pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, tarikh tersebut akan ditetapkan setelah Yang di-Pertuan Agong berunding dengan Yang di-Pertuan Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengadap Taib untuk memaklumkan dibawah Perlembagaan Sarawak tempoh DUN tamat pada 6 Jun ini.

“Dalam norma biasa sepatutnya dibubar untuk mengembalikan mandat serta hak demokrasi rakyat memilih kerajaan melalui pilihanraya.

“Tetapi negara dibawah Darurat Kesihatan Pandemik Covid-19 sehingga 1 Ogos 2021,” katanya pada sidang media selesai mesyuarat pimpinan tertinggi GPS yang dipengerusikan oleh Abang Johari di Kuching hari ini.

Tambah Nanta, GPS yakin akan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Taib berhubung perkara tersebut dimana kehidupan rakyat lebih diutamakan.

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijadual tamat pada 6 Jun depan dan akan bubar dengan sendirinya bagi membolehkan PRN12 diadakan.

Bagaimanapun dengan pengisytiharan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agon berkuat kuasa 12 Januari hingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan, menyebabkan pembubaran DUN Sarawak tidak akan berlaku pada 6 Jun depan.

Di bawah Ordinan Darurat semua pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan dalam tempoh darurat berkuat kuasa. — DayakDaily