Abang Johari serah watikah pelantikan ketua masyarakat dan kaum Bahagian Sri Aman

Abang Johari (empat dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang ketua masyarakat di Simanggang hari ini. Turut kelihatan Uggah (tiga dari kiri).

Oleh Chris Bishop

SIMANGGANG, 31 Ogos: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menyampaikan watikah pelantikan kepada tujuh ketua masyarakat dan 35 ketua kaum Bahagian Sri Aman di sebuah hotel di sini.

Berucap di majlis itu, Abang Johari berkata, jawatan ketua masyarakat dan ketua kaum atau tuai rumah adalah penting kerana mereka membantu menyalurkan maklumat berhubung perancangan kerajaan kepada rakyat.


“Justeru, kita akan mempertahankan sistem ini dimana jawatan ketua kaum, tuai rumah dan ketua masyarakat mesti ada.

“Kuasa mesti ada dan kita memiliki temenggong, pemanca, penghulu dan ketua kaum atau tuai rumah,” katanya.

Tambah Abang Johari, sistem tersebut telah wujud sejak zaman pemerintahan Brooke dan turut diguna pakai pada zaman pemerintahan koloni.

Katanya, Rajah Brooke mengiktiraf sistem tersebut sebagai perhubungan antara kerajaannya dengan masyarakat dan untuk memerintah mesti ada pemimpin yang lahir dari kalangan yang dihormati oleh rakyat.

“Apabila Sarawak menjadi koloni, kerajaan British juga mengiktiraf peranan ketua masyarakat dan tuai rumah.

“Kerajaan koloni menghormati adat kita walaupun mereka memerintah dan dengan demikian wujudnya pegawai hal ehwal orang asal,” ujar Abang Johari.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah pada ucapan aluan berkata, kerajaan telah meluluskan sebanyak 1,064 jawatan ketua kaum (tuai rumah) yang baharu di Sarawak.

Menurut beliau, ia diluluskan setelah menerima laporan Pejabat Residen bahawa ada ketua rumah panjang dan kampung yang kurang daripada 20 keluarga tetapi lebih 10 keluarga masih belum menerima watikah pelantikan.

“Ada yang telah menjawat jawatan tersebut untuk sekian lama dan mereka menghadiri mesyuarat GPS (Gabungan Parti Sarawak).

“Disebabkan tiada surat pelantikan mereka tidak menerima elaun dan apabila perkara ini dibawa ke kabinet, Ketua Menteri luluskan 1,064 jawatan untuk tahun ini,” kata Uggah.

Beliau memaklumkan bahawa Ketua Menteri juga telah memberi peruntukan tambahan sebanyak RM18.6 juta sebagai tambahan kepada peruntukan terdahulu RM100 juta untuk memperkasa sistem Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarawak. — DayakDaily