Abang Johari musykil kerajaan pusat kekurangan dana

Abang Johari (duduk tengah) di Upacara Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan. Turut kelihatan Masing (kiri) dan Uggah (dua kanan).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 31: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempersoalkan kenyataan yang dibuat oleh kerajaan pusat yang mereka kekurangan dana.

Musykil dengan kenyataan itu, Abang Johari berkata kerajaan pusat telah mengumumkan beberapa projek baharu di Semenanjung Malaysia tetapi telah membatalkan projek-projek di Sarawak.

Advertisement

“Saya dengar mereka kata kurang duit, tetapi di sana (Semenanjung Malaysia) mereka buat projek.

“Di sini (Sarawak) tidak dibuat, saya pun tidak tahu. Benarkah Malaysia kurang duit?,” katanya di Upacara Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan pusat bertanggungjawab menyediakan peruntukan untuk Sarawak mengikut perlembagaan.

“Ini adalah kerana mereka mengambil hasil cukai daripada kita. Kita bayar cukai pendapatan dan semua bayaran ini diambil kerajaan pusat.

“Kita bayar cukai kenderaan pun diambil mereka, semua cukai pergi ke kerajaan pusat. Maka kita ada hak, hasil cukai tersebut mesti dikembalikan kepada kita,” tegas Abang Johari.

Oleh demikian, beliau meminta kerajaan pusat menjelaskan pendirian sebenar mereka.

Di antara projek yang telah dibatalkan oleh kerajaan pusat walaupun telah diberi kelulusan terdahulu adalah projek Jambatan Batang Lupar yang bernilai RM1 biliun.

Projek tersebut telah diluluskan secara perkongsian kos antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Selain Jambatan Batang Lupar, turut dibatalkan oleh kerajaan pusat adalah projek Jambatan Rambungan.

Turut hadir di upacara tersebut Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing. — DayakDaily

Advertisement