Lapan Sekolah Mubaligh SIAC terima bantuan dana UNIFOR berjumlah RM960,000

Nanta (tiga dari kiri) menyerahkan cek bantuan dana berjumlah RM175,000 kepada Guru Besar SK Methodist Joseph Arthur.

KAPIT, 20 Nov: Sebanyak 8 buah sekolah di bawah denominasi Methodist untuk Sarawak Annual Iban Conference (SIAC) malam ini menerima bantuan dana Sekolah Mubaligh dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Peruntukan berjumlah RM960,000 merupakan bantuan dana yang julung kalinya diterima dari kerajaan negeri dan telah disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Nanta yang juga MP Kapit berkata, dana bantuan tersebut membolehkan sekolah mubaligh menikmati prasarana sekolah yang setaraf dengan sekolah lain.


ā€œDengan bantuan dana dari UNIFOR ini, usaha kita untuk menaiktaraf sekolah mubaligh semakin mudah dan ia membantu mempertingkatkan sistem pendidikan di negeri ini,ā€ katanya pada ucapan di majlis itu.

Tambah beliau yang juga Penasihat Sekolah Mubaligh Denominasi Methodist SIAC, sekolah methodist di era 70-an, 80-an dan 90-an amat terkenal di Sarawak dan telah melahirkan pelajar yang berkualiti.

Katanya, ia adalah kerana sistem pendidikan sekolah methodist ketika itu masih dikuasai orang Inggeris yang mengutamakan kualiti.

ā€œSehinggakan bekas timbalan menteri iaitu bekas MP Saratok (Jelaing Mersat) sanggup datang ke Kapit untuk menimba ilmu.

ā€œKetika itu tiada jalan, tetapi beliau sanggup ke Kapit dan belajar di sekolah methodist yang menyediakan asrama,ā€ ujar Nanta.

Lapan sekolah yang menerima dana bantuan ialah SK Methodist Kapit dengan peruntukan sebanyak RM175,000, SK Nanga Tiau (RM96,000), SK Nanga Meluan (RM120,000), SK Nanga Entuloh (RM90,000).

Manakala SK Sungal Amang menrima peruntukan RM165,000, SK Nanga Mujong (RM160,000), SK Sungai Menuan (RM74,000) dan SK Lubok Mawang menerima RM80,000.

Terdahulu, UNIFOR telah mengagihkan bantuan dana untuk 30 buah sekolah denominasi Roman Katolik bahagian Kuching sebanyak RM3.8 juta.

Sejumlah RM2.76 juta diperuntukan untuk 23 buah sekolah di bawah denominasi Roman Katolik Bahagian Sibu dan 7 Sekolah Mubaligh denominasi Roman Katolik Bahagian Miri yang menerima peruntukan berjumlah RM840,000.

Sekolah Mubaligh denominasi Anglican Diocese of Kuching pula telah menerima peruntukan sebanyak RM6 juta untuk 50 buah sekolahnya di seluruh Sarawak.

Selain itu, Methodist untuk Sarawak Chinese Annual Conference menerima peruntukan sebanyak RM600,000.

Turut hadir pada majlis ini adalah Pengarah UNIFOR Richard Lon dan Pengarah KPDNHEP Sarawak Dato Stanley Tan. ā€” DayakDaily