Nanta: Belanjawan 2021 manifestasi keakraban hubungan Kerajaan Pusat, Sarawak

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 7 Nov: Belanjawan 2021 dilihat sebagai manifestasi keakraban hubungan antara Kerajaan Pusat dan Sarawak sekalugus menjadikan ia sebagai negeri kedua menerima peruntukan tertinggi selepas Sabah.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata peruntukan tersebut pastinya akan dimanfaatkan bagi penyediaan serta pembangunan infrastruktur sistem perhubungan, prasarana pendidikan, kemudahan kesihatan dan utiliti terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Ini adalah berita baik buat seluruh Anak Sarawak kerana pembangunan ini akan mewujudkan akses perhubungan ke kawasan terbabit, sekali gus merangsang pembangunan dan sosioekonomi setempat yang tentunya membawa banyak faedah kepada rakyat.


“Kemudahan seperti ini dapat membuka lebih banyak akses ekonomi, termasuk peluang perniagaan serta perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lebih meluas.

“Ini juga tentunya membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang mampu memberi banyak manfaat kepada penduduk serta kemajuan setempat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata sistem perhubungan yang manpan pada jangka masa panjang mampu mengurangkan beban sara hidup rakyat, terutama masyarakat pedalaman dan luar bandar.

Ia apabila kos logistik mampu diminimumkan, sekali gus membantu dalam menstabilkan harga barangan di kawasan tersebut, katanya.

Beliau berkata, perancangan Kerajaan Pusat untuk memperluas perkhidmatan bank bergerak di Sabah dan Sarawak membuktikan keberkesanan pelaksanaan progam yang dipelopori Sarawak itu dalam membantu memudahkan urusan perbankan rakyat yang sukar mendapat akses berkenaan.

Katanya, tumpuan sama turut diberikan kepada penyediaan prasarana telekomunikasi dan kemudahan jalur lebar lebih cekap seiring dengan Dasar Ekonomi Digital yang diinspirasikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Tambah beliau, pelaksanaan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub bagi kemudahan sekolah di luar bandar Sarawak dan Sabah membabitkan peruntukan RM120 juta merupakan isyarat jelas keutamaan kepada agenda pembangunan Bumi Kenyalang sentiasa diberikan oleh kerajaan pusat.

“Kita berasakan peruntukan itu adalah wajar buat masa ini iaitu ketika negara yang sedang berjuang melawan pandemik COVID-19 sejak bulan Mac lalu, yang bermakna sejumlah besar pendapatan negara terpaksa digunakan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan sosial semua rakyat terjaga.

“Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sarawak, khususnya dari GPS akan memperhalusi Belanjawan 2021 bagi mengenalpasti keperluan mengemukakan permohonan bajet tambahan bertujuan menyesuaikannya dengan situasi semasa di negeri ini,” katanya. — DayakDaily