Abang Jo: LRT Kuching-Serian dalam masa tempoh 10 tahun

Abang Johari (tengah) memukul gong secara simbolik merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali Cawangan PBB Zon 3.

KUCHING, 13 Jan: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjangkakan pengangkutan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dari bandaraya Kuching sehingga bahagian Serian akan dapat diwujudkan dalam tempoh sepuluh tahun lagi kerana dirancang mengunakan teknologi rel diatas permukaan jalan raya yang lebih ringkas dan murah berbanding teknologi “rel tinggi” digunakan sistem LRT di Kuala Lumpur.

Beliau menjelaskan sistem LRT di Kuala Lumpur mengunakan teknologi “rel tinggi” membabitkan pembinaan jambatan tinggi diatas jalan raya yang rumit dan mahal; bagaimanapun sistem LRT dari Kuching hingga Serian dirancang membabitkan pembinaan rel diatas permukaan jalan raya yang ringkas dan murah sama seperti teknologi pembinaan rel bagi gerabak tram elektrik.

“Sistem LRT terbabit (dari Kuching hingga Serian) mungkin akan mengunakan rel atas permukaan jalan raya seperti rel gerabak tram elektrik yang banyak digunakan di luar negara termasuk di Melbourne, Australia. Saya menanggarkan dalam masa sepuluh tahun kita akan dapat membinanya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 3 (N.18 Serembu, N.19 Mambong, N.20 Tarat, N.21 Tebedu, N.22 Kedup dan N.23 Bukit Semuja di Ibupejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Jalan Kumpang, di sini hari ini.

Ahli PBB yang menghadiri Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali Cawangan PBB Zon 3.

Abang Johari menambah yang sistem LRT di negeri ini juga akan digerakkan mengunakan bahan api dari hidrogen yang dihasilkan dari air dan bukan mengunakan tenaga elektrik seperti sistem LRT di Kuala Lumpur dan gerabak tram.

“Ini kerana ada parti pembangkang mendakwa pembinaan sistem LRT di negeri ini akan amat mahal. Kita bukan bodoh dan tahu membuatnya lebih ekonomi, kita tidak perlu mengikut apa yang ada di Kuala Lumpur yang semuanya mengunakan rel tinggi,” katanya.

Beliau berkata pengwujudan LRT dari Kuching hingga Serian dalam tempoh 10 tahun lagi bukan sahaja akan mengurangkan masalah kesesakan lalulintas terutamanya di Kota Samarahan yang ada ramai pelajar institusi pengajian tinggi malahan juga akan membantu kerajaan negeri membangunkan bahagian Serian yang majoriti penduduknya kaum Bidayuh sebagai kawasan bakul makanan atau pengeluaran makanan negeri ini serta dari segi pelancongan.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap kaum Bidayuh di bahagian Serian supaya terus bersatu dibawah parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan perancangan pembinaan LRT terbabit direalisasikan dan bukan pembangkang yang ketika ini pun sesama sendiri bertelagah kerana ada pemimpinnya mahu kembali menjadi Perdana Menteri.

“Mana boleh kita terima (Perdana Menteri) yang dikitar semula. Kita perlu melihat masa hadapan, kerana pemikiran saya hari ini mungkin berbeza dengan pemikiran golongan muda tahun 2025 nanti,” katanya. — DayakDaily