Ahli PBB diminta bersiap sedia untuk PRU14

Dr Abdul Rahman Junaidi (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli PBB Cawangan Pantai Damai di Majlis Perhimpunan Pemimpin PBB Cawangan N.4 Pantai Damai.

KUCHING, Jan 13: Ahli dan pemimpin akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di negeri ini termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai diminta mula bersiap sedia dengan segala maklumat penting terkini berkaitan pengundi kawasan masing-masing bagi berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang bakal diadakan awal tahun ini.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata demikian dan ini merangkumi maklumat berkaitan bilangan pengundi terkini di kawasan Parlimen mereka, bilangan pengundi terkini di semua kawasan DUN dalam Parlimen itu, bilangan pengundi dalam kawasan Parlimen dan DUN itu yang ahli PBB, bilangan pengundi PBB lelaki dan wanita, bilangan ahli PBB dalam setiap cawangan dan ranting, keputusan pilihanraya umum dan pilihan raya negeri lepas dan sebagainya.

“Ini supaya sebaik sahaja tarikh pilihanraya umum tahun ini diumumkan Perdana Menteri, ahli dan pemimpin akar umbi parti PBB di negeri ini termasuk di DUN Pantai Damai sudah bersiap sedia dengan segala maklumat pengundi terbabit yang dapat digunakan mereka bagi mengatur strategi berkempen,” katanya ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Pemimpin PBB Cawangan N.4 Pantai Damai, di Grand Dormani Rajah Court, Jalan Tun Razak, Pending, di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata bagi ahli dan pemimpin PBB DUN Pantai Damai, maklumat pengundi terbabit berguna bagi mengatur kempen meraih sokongan pengundi di Parlimen Santubong supaya dapat mengulangi keputusan PRU Ke-13 dimana calon BN, dari parti PBB, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah memenangi kerusi Parlimen Santubong dengan majoriti besar sebanyak 20,936 undi.

Beliau berkata maklumat pengundi terbabit boleh disimpan mereka dalam telefon bimbit dan mendedahkan ketika ini DUN Pantai Damai keseluruhannya ada seramai 19,520 pengundi dan paling ramai pengundi diantara tiga kawasan DUN dalam Parlimen Santubong manakala dua kawasan DUN lain iaitu DUN Demak Laut mempunyai sekitar 15,000 pengundi dan DUN Tanjong Datu mempunyai sekitar 17,000 pengundi.


“Ketika ini juga DUN Pantai Damai mempunyai seramai 16,806 ahli PBB dan merupakan cawangan parti itu yang paling ramai ahli PBB di negeri ini,” katanya serta menambah pilihanraya negeri lepas calon BN menang di DUN terbabit dengan mendapat lebih 9,000 majoriti undi.

Berdasarkan maklumat tersebut juga, beliau meminta ahli pemimpin akar umbi PBB Cawangan Pantai Damai terus meningkatkan bilangan keahlian cawangan terbabit dikalangan golongan muda dan mensasarkan meningkatkannya sehingga 2,000 ahli baharu dalam tempoh dua tahun lagi supaya hampir sama dengan keseluruhan bilangan pengundi di DUN terbabit. — DayakDaily