Banjir: 52 penduduk Kampung Skitong dipindahkan

Keadaan banjir di Kampung Skitong, Sebuyau.

SEBUYAU, Jan 13: Hujan lebat berterusan sejak semalam telah mengakibatkan seramai 52 penduduk dari Kampung Skitong di sini dipindahkan ke pusat penempatan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air banjir, petang ini.

Kesemua mangsa daripada 16 buah keluarga itu kini ditempatkan di Dewan Kampung Lutong, Sebangan di sini mulai pada pukul 4 petang.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kesemua mangsa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air banjir sedalam kira-kira 0.6 meter.


Antara mangsa banjir dari Kampung Skitong, Sebuyau yang dipindahkan.

Katanya, kesemua mangsa yang dipindahkan termasuk dua bayi perempuan dan seorang warga emas.

“Selain itu, terdapat 17 lelaki dan 20 wanita turut ditempatkan sementara di pusat pemindahan banjir.

“12 orang kanak-kanak masing-masing enam.lelaki dan perempuan juga terlibat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah jurucakap sama, agensi-agensi yang terlibat dalam operasi pemindahan mangsa banjir ialah pasukan Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Rela, Pejabat Daerah Sebuyau dan Majlis Daerah Sebuyau. — DayakDaily