58 penduduk di Selangau terima bayaran pampasan tanah berjumlah RM8,529,883

Len (tiga dari kanan) pada majlis penyerahan cek bayaran pampasan tanah di Selangau.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 29 Sept: Bayaran pampasan tanah berjumlah RM8,529,883 telah diserahkan kepada 58 penduduk dari tiga rumah panjang di Selangau.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ia melibatkan Rumah Kunsun Aning, Rumah Emu Gima dan Rumah Anthony Amit Gurum dan telah diserahkan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Menurut Len, semua tanah yang diambil balik oleh kerajaan akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.


Katanya, Kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ianya melibatkan tanah berhak milik ataupun tertakluk tuntutan tanah NCR untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur dan utiliti.

“Kerajaan mengiktiraf hak rakyat ke atas tanah NCR yang sahih mengikut perundangan.

“Maka, Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada tahun 2010 bagi mempercepatkan proses penyukatan pengukuran tanah NCR supaya pemiliknya mempunyai dokumen pemilikan, persempadanan yang jelas dan tidak akan diceroboh.

“Walaupun tanah seperti yang terlibat dalam pengambilan pada kali ini masih belum disukat dan diwartakan di bawah Seksyen 6, JTS tetap akan membayar pampasan jika terdapat tuntutan tanah NCR yang sahih.

“Ini diperuntukkan dibawah Sekyen 5 Kanun Tanah Negeri,” katanya di Majlis Simbolik Penyampaian Cek Pampasan Tanah bagi Projek Pan Borneo Highway: Bulatan Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Pelugau di Pejabat Daerah Baru Selangau pada Selasa.

Turut hadir ADUN Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang.

Tambah Len, kerajaan memerlukan tanah untuk membangunkan kesemua infrastruktur asas yang lengkap.

Ujar beliau, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa berusaha untuk mencari pendapatan yang lebih kepada Sarawak.

“Ini bagi merealisasikan usaha Kerajaan melipat gandakan pembangunan infrastruktur, utiliti serta menyediakan prasarana yang lebih baik di kawasan luar bandar,” katanya. — DayakDaily