533 kayu balak haram disita dan empat pekerja ditahan

Kelihatan longgokan kayu balak haram yang dirampas dalam Ops Jongkong.

KAPIT, Sept 20: Sebanyak 533 batang kayu balak daripada pelbagai saiz dan spesies berjaya disita oleh pihak berkuasa menerusi Ops Jongkong di Sungai Sebunus dekat sini.

Operasi bersepadu yang dijalankan mulai Sept 12 hingga 18 lepas dilakukan oleh pegawai penguatkuasa dari Sarawak Forestry Corporation (SFC), Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri Sarawak serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-10 dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SFC dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, dalam serbuan sama, pihak berkuasa juga berjaya menyita tujuh buah jentera berat dan seunit mesin pemotong yang digunakan untuk melakukan kegiatan pembalakan haram tersebut.


Kata SFC, pasukan sama turut berjaya menangkap empat pekerja pembalakan iaitu masing-masing dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kayu balak yang ditemui ditanda dengan tanda palsu ‘Log Production Identity’ (LPI).

“Selain itu, pemeriksaan lanjut menemui longgokan kayu balak yang ditanam dalam tanah dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” kata SFC di sini hari ini.

SFC menambah, satu laporan polis berhubung rampasan kayu balak haram itu telah dibuat bagi tindakan selanjutnya.

Jelas SFC, kes berkenaan juga telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Bahagian Kapit untuk siasatan lanjut.

“Kes itu disiasat di bawah Ordinan Hutan 2015 dan jika didapati bersalah pembalak haram boleh dikenakan hukuman penjara mandatori dan denda bagi setiap kesalahan,” kata SFC. — DayakDaily