IPD Padawan: Penurunan sebanyak 105 kes jenayah tahun ini sehingga Sept 19

Merbin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis ketika perhimpunan bulanan IPD Padawan.

PADAWAN, Sept 20: Kes jenayah di kawasan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah menurun sebanyak 105 kes dari Januari sehingga Sept 19 tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa mendedahkan statistik tersebut dengan keseluruhannya sebanyak 546 kes jenayah telah dilaporkan di Padawan dari Jan 1 hingga Sept 19 tahun ini.

“Manakala dari Jan 1 hingga Sept 19, 2017 telah dilaporkan sebanyak 651 kes jenayah. Penurunan sebanyak 105 kes (tahun ini),” katanya ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan IPD Padawan, di Siburan, di sini, hari ini.


Keseluruhannya seramai 21 pegawai kanan polis, 120 anggota polis dan tujuh kakitangan awam menghadiri perhimpunan tersebut dengan seramai 10 orang pegawai kanan dan anggota terbabit menerima sijil penghargaan atas kecemerlangan tugas.

Merbin sehubungan itu mengingatkan semua Ketua Bahagian dan Ketua Polis Balai dibawah IPD Padawan meneliti semua KPI masing-masing untuk dicapai sebelum tempoh 2018 berakhir yang hanya tinggal tiga bulan lagi.

Disamping itu, bagi terus meneruskan penurunan jenayah di kawasan Padawan, beliau mahu program dan kempen pencegahan jenayah dipertingkatkan di kawasan itu samada bersama agensi kerajaan, ketua masyarakat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Kawasan Rukun Tetangga (KR), Skim Rondaan Sukarela (SRS) serta masyarakat amnya.

“Perlu diteruskan dan diperhebatkan lagi kerjasama ini yang penting untuk mencapai sasaran meminimakan kejadian jenayah khasnya di lokasi-lokasi tumpuan jenayah termasuk yang berkaitan dadah serta memastikan penyaluran maklumat secara berterusan didalam menangani jenayah,” katanya.

Selain itu, Merbin juga meminta pegawai dan anggota polis di bawah IPD Padawan tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah, perjudian serta kegiatan negatif lain yang boleh mencemar nama baik pasukan polis.

“Semua warga polis khasnya di IPD Padawan perlu istihar harta (dimiliki) contohnya kenderaan. Kehidupan melibatkan gaji yang diterima perlu selari perbelanjaan,” katanya dan meminta mereka tidak bermewah-mewah kerana ini juga boleh menjejaskan kualiti kerja dan kehidupan peribadi. — DayakDaily