50 sertai kursus risiko dan ancaman penyakit terhadap ladang hutan

Peserta-peserta kursus menjalankan tugasan di lapangan

KUCHING, 20 Julai: Seramai 50 orang peserta telah menghadiri kursus Risiko dan Ancaman Penyakit Memberhaya Terhadap Ladang Hutan di Sarawak yang diadakan di Bintulu.

Kursus yang diadakan selama tiga hari (16-18 Julai) itu merupakan anjuran bersama Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Sarawak Timber Association (STA) dengan kerjasama Forest Research Institute Malaysia (FRIM).

“Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang kursus seperti pembentangan kertas kerja berkaitan dengan pengenalan dan pengecaman penyakit-penyakit pokok, penyakit dan serangan serangga perosak di Sarawak.


“Kertas kerja berkaitan pengurusan penyakit dan perosak serta pengendalian racun perosak turut dibentangkan,” menurut JHS dalam kenyataan media.

Peserta-peserta Kursus Risiko dan Ancaman Penyakit Memberhaya Terhadap Ladang Hutan di Sarawak.

Para peserta juga didedahkan kepada kertas kerja berkaitan survei, penilaian dan pemantauan, pemencilan sampel penyakit dan penghasilan bahan tanaman berkualiti.

Antara aktiviti lain sepanjang kursus diadakan adalah tugasan kerja kumpulan seperti penubuhan plot, pengecaman penyakit dan perosak, penilaian penyakit dan perosak dan pengambilan sampel penyakit atau perosak, analisa data dan pembentangan tugasan dalam kumpulan.

Peserta-peserta kursus adalah dari kakitangan JHS, SFC, STA dan dari kalangan perlesen-perlesen. — DayakDaily