Konsert Kamek Sayang Sarawak di Bintulu pada 21 Julai

Baby Shima

KUCHING, 20 Julai: Majlis Seni Sarawak (MSS) akan menganjurkan Konsert Kamek Sayang Sarawak pada 21 Julai di Bintulu.

Konsert percuma bersempena Sambutan Hari Sarawak itu akan dimeriahkan dengan persembahan penyanyi popular ‘Baby Shima’, Hafiz Suip dan Andrewson Ngalai.

Bertempat di Jalan Lapangan Terbang Lama Bintulu, konsert dibahagikan kepada dua segmen dan yang pertama akan bermula dari jam 4 hingga 6 petang.


Segmen kedua, iaitu acara kemuncak konsert, akan bermula dari jam 8 malam.

“Selain berhibur dengan nyanyian dari penyanyi undangan, orang ramai juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan pelbagai etnik,” menurut kenyataan media.

Penyanyi-penyanyi lain yang turut memeriahkan konsert itu nanti adalah Melissa Francis, Rosiana Urai, Claudia Geres, Firdaus Materang, Roxane dan Band D’ Cipta.

Turut mempersembahkan kebudayaan pada malam tersebut ialah Kumpulan Kebudayaan Bintulu, “The Craft” dan Band Mitra, selain persembahan nyanyian dari para pemenang program FIKON.

Konsert Kamek Sayang Sarawak buat kali pertamanya akan mempersembahkan dramatari dengan tema ‘Sayang Sarawak’ selama 15 minit.

Dramatari tersebut mengisahkan sejarah Sarawak iaitu perjalanan menuju kemerdekaan dari pelbagai perspektif masyarakat.

Konsert akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api. — DayakDaily.