JHS memeterai dua perjanjian tingkat konservasi hutan di Sarawak

Hamden (dua, kiri) bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari (tengah) melihat spesis pokok hutan yang ditanam oleh JHS bagi Kempen Penghijauan Malaysia.

KUCHING, 26 Mac: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sime Darby-UPM dalam usahanya memastikan kejayaan perlaksaan Kempen Penghijauan Malaysia di Sarawak.

Pengarah JHS, Datuk Hamden Mohammad berkata kolabrasi jabatan itu dengan dua organisasi itu penting dalam usaha mengekalkan sumber biodiversiti di negeri ini yang merupakan antara khazanah berharga negara ketika dunia berhadapan dengan ancaman perubahan iklim.

“MoU bersama SEB adalah bertujuan untuk menjalankan aktiviti restorasi atau rehabilitasi melalui penanaman pokok, konsevasi serta perlindungan kawasan tadahan air empangan hidroelektrik serta ‘carbon sequestration’ melalui penanaman mengaya (enrichment planting), penghutanan semula dan penghijauan alam sekitar.


“Manakala MoU dengan Sime Darby dan UPM adalah untuk menjalin kerjasama strategik yang sejajar dengan melindungi kawasan nilai konservasi tinggi (HCV) yang telah dikenal pasti di kawasan ladang kelapa sawit,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 di Taman Bukit Siol di sini hari ini.

Sementara itu di majlis sama, Hamden turut memaklumkan JHS berjaya menanam kira-kira 3.15 juta pokok sehingga hari ini (26 Mac) manakala 10.1 juta pokok berjaya ditanam tahun lepas.

Kejayaan itu kata beliau menjadikan Sarawak sebagai negeri pendahulu dengan jumlah pokok terbanyak ditanam semula menerusi Kempen Penghijauan Malaysia yang mensasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025. -DayakDaily